INFORMASI SEMASA

Salam sejahtera untuk semua calon-calon SPM 2009 SMK Gunsanad II. Anda tentunya bangga menjadi sebahagian pelajar di sekolah ini. sudah tentu anda tahu menjana segala kudrat yang ada untuk menempuh peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun ini. Usaha yang gigih adalah asas kepada setiap kejayaan di masa akan datang.
Untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, selain bakat anda juga memerlukan daya usaha yang tinggi untuk mempelajari segala teknik lukisan dan catan untuk memahirkan diri anda menjadi seorang insan seni yang kreatif dan inovatif.
Membaca buku adalah perkataan yang sudah sering kali diungkapkan untuk membantu kejayaan anda. nah...untuk itu jangan biarkan masa-masa emas anda berlalu begitu saja tetapi dengan penuh azam dan tekad korbankan semua aktiviti anda yang kurang membantu kepada kejayaan anda dan penuhi dengan mengulangkaji segala ilmu yang telah dicurahkan oleh guru anda.
Saya amat yakin bahawa anda semua akan mencapai kejayaan dalam peperiksaan SPM tahun ini dengan syarat gandakan usaha anda ke arah itu.

sekian

Salam Kasih untuk anda semua.

By JOB

G2 Dalam Kenangan

Amali Di Bilik Seni

Eksperimental Seni Citra Warna 2008 Dalam Kenangan

MEWARNA LANSKAP

ASAS SENI REKA KEPENTINGAN DAN IMPLIKASI KEPADA PELAJAR Oleh Job

Kegagalan pelajar menguasai Asas Seni Reka menyebabkan mereka tidak berkeupayaan untuk menghasilkan sebuah karya seni yang bermutu. Dalam semua aktiviti penghasilan karya sama ada di bidang Seni 2 Dimensi, Seni 3 Dimensi, Kraf Tradisional, Seni Reka Dalaman dan Luaran, serta Seni Grafik, adalah menuntut penguasaan Asas Seni Reka yang mendalam di kalangan pelajar bagi menghasilkan sebuah karya yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Meski pun di peringkat menengah rendah secara amnya dan khususnya di tingkatan 3, para pelajar hanya menghasilkan karya-karya mengikut kesesuaian tahap kognitif, afektif dan psikomotor tetapi sepatutnya para pelajar tetap akan menghasilkan satu karya yang sekurang-kurangnya memperlihatkan penguasaan Asas Seni Reka yang baik dan bukannya semata-mata menuruti kehendak dan kemahuan guru Pendidikan Seni.

Terdapat juga pelajar-pelajar yang mempunyai bakat dengan mutu penghasilan karya yang baik tetapi tidak mampu untuk membicarakan hasil karya mereka dari sudut Asas Seni Reka yang bersesuaian dengan mutu penghasilannya. Ada ketika mereka mampu membuat tetapi tidak memahaminya. Mereka sebenarnya terpengaruh dengan apa yang pernah dilihat dan disebabkan daya sensitiviti yang tinggi mereka mampu membuat imitasi dengan sedikit perubahan mengikut kefahaman sendiri.

Namun begitu, apabila dilihat dari aspek disiplin seni, banyak berlaku kegagalan sama ada dalam menggabungkan aspek asas seni reka dengan motif dan mesej yang hendak disampaikan. Penggunaan elemen-elemen dan unsur-unsur seni yang tidak sesuai pada tempatnya, simbol-simbol yang tidak jelas dan kepelbagaian rentak dan ragam yang tidak diingini pada karya sering diperlihatkan. Bagi pelajar yang kurang berbakat, sudah pasti keadaan yang lebih meruncing pada penghasilan karya jika mereka jika penguasaan Asas Seni Reka berada pada tahap yang rendah.

Fokus kepada penghasilan karya dalam 2 Dimensi iaitu seni catan dengan melihat kepada penggunaan satu unsur seni iaitu warna. Kegagalan memahami, faham tetapi gagal mengingati, faham tapi pada teorinya dan kurang praktikalnya atau hampir semua aspek mengenai warna dipandang remeh, menyebabkan pelajar tidak berkeupayaan menunjukan mood yang diingini. Misalnya melukis dan mewarna satu pemandangan lanskap di waktu pagi, pelajar gagal menggunakan konsep penggunaan warna panas dan sejuk, tona warna yang kurang matang diperlihatkan, kesesuaian warna latar, objek yang berada di belakang dan depan, arah pencahayaan untuk menimbulkan 3 dimensi dan akhirnya campuran warna yang betul untuk mewarnai objek-objek tidak menampakan kesesuaiannya, maka jelas dan nyata, kegagalan penguasaan satu unsur seni, merencatkan hasil karya pelajar, apa lagi jika kesemua Asas Seni reka itu gagal dikuasai oleh para pelajar.

Jika kegagalan menguasai Asas Seni Reka di kalangan pelajar semasa menghasilkan karya berada di tahap yang kritikal, ini sudah pasti membawa impak yang sangat tinggi kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berikutnya. Kegagalan ini menyebabkan mereka tidak berkeupayaan untuk membuat kritikan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan oleh rakan-rakan pelajar lain dari aspek formalistik semasa proses kritikan untuk memperbaiki kelemahan rakan pelajar yang lain.

Sesi kritikan amat penting untuk membahaskan kekuatan dan kelemahan terhadap satu-satu karya yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar. Semestinya kritikan itu berlandaskan kepada Asas Seni Reka dan pelbagai sudut yang lain agar pengkarya tahu di mana kelemahan, kesilapan, kekurangan, ataupun kekuatan, daya tarikan, nilai estetika pada karyanya. Kritikan yang negatif adalah untuk memperbaiki, menambah, dan pencetusan idea dan kritikan yang positif adalah sebagai dorongan, ganjaran, dan penghargaan terhadap satu-satu karya pelajar.

Agak malang jika kritikan itu secara keseluruhannya datang dari seorang guru yang mengajar Pendidikan Seni sahaja. Keterlibatan secara langsung oleh pelajar-pelajar untuk sesi kritikan itu amat diperlukan untuk menajamkan pengetahuan dan pengamatan terhadap unsur-unsur seni dalam karya, selain menjana minda pelajar berganjak pradigma kepada pemikiran secara kritis dan kreatif. Pelajar yang menguasai Asas Seni Reka dapat melihat dengan jelas dan menyatakan dengan terperinci unsur-unsur seni terhadap satu karya yang dipamerkan di sudut ruangan pameran Bilik Seni ketika sesi kritikan diadakan. Namun jika pelajar-pelajar gagal menguasai Asas Seni Reka, akan kedengaran suara guru Pendidikan Seni memenuhi ruang Bilik Seni sahaja ketika itu.

Kegagalan pelajar menguasai asas seni reka menyebabkan mereka tidak berkeupayaan untuk mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya, nilai-nilai murni yang rendah, kurang peka terhadap mesej yang disampaikan. Apa sahaja objek seni yang terdapat di sekeliling kita menuntut minda pelajar untuk mentafsirkannya dengan keupayaan bahasa tampak yang telah dikuasai. Dengan demikian, gambaran-gambaran yang terhasil dari tafsiran ini akan menguatkan lagi kefahaman terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling terutamanya berkait dengan nilai-nilai murni dan pegangan budaya sesuatu kelompok masyarakat.

Penguasaan Asas Seni Reka ataupun dengan kata lain bahasa tampak yang kukuh dapat membantu pelajar merasionalkan diri ketika menjawab persoalan mengapa berlakunya kelainan antara manusia dengan manusia yang lain dari aspek kebudayaannya. Sama ada aspek pemilihan pakaian antara individu, kelompok masyarakat, kaum, dan agama. Kelainan-kelainan pada ornamen atau aksesori tradisi. Pemilihan warna bangunan, penetapan saiz perabot dalam bangunan, tumbuh-tumbuhan, dan apa sahaja peristiwa yang berlaku dipersekitaran pelajar. Semua itu, mampu diterjemahkan oleh pelajar secara rasional melalui penguasaan bahasa tampak yang mantap.

Kemampuan membuat tafsiran dalam hal-hal sedemikian sewajarnya telah boleh dikuasai oleh pelajar-pelajar tingkatan tiga yang telah didedahkan dengan pelbagai elemen seni ataupun Asas Seni Reka. Tetapi fenomena negatif dalam masyarakat yang sering terjadi dan itu menampakkan seolah-olah tiada penghayatan dalam pembelajaran seni sehinggakan tindakan-tindakan songsang yang dibuat jauh bertentangan dengan ekspresi seni itu sendiri.

Di sekolah sebagai contohnya, vandalisme seperti menghasilkan grafiti di dinding bangunan juga turut menular ke luar sekolah, merosak harta benda sekolah, tidak menghormati rakan-rakan pelajar lain dan sebagainya, seolah-olah satu penafian oleh pelajar-pelajar terhadap objektif seni itu sendiri. Kegagalan pelajar menguasai bahasa tampak sebagai satu saluran pernyataan emosi telah memungkin perkara-perkara di atas berlaku.